Syeikh Abdul Qadir Jailani
TAUBAT DAN PENGAJARAN MELALUI PERKATAAN
Tahap-tahap dan peringkat-peringkat
perubahan kerohanian telah pun disebut. Perlu ditegaskan bahwa setiap
peringkat dicapai terutamanya dengan taubat. Bolehlah dipelajari cara bertaubat
dengan orang yang mengetahui cara berbuat demikian dan yang telah sendirinya
bertaubat. Taubat yang sebenarnya dan menyeluruh merupakan langkah pertama di
dalam perjalanan.
“(Ingatlah)
tatkala orang-orang kafir itu adakan dalam hati mereka kesombongan (yaitu)
kesombongan jahiliah. Lalu Allah turunkan ketenteraman atas rasul-Nya dan atas
mukmin. Dan Dia wajibkan mereka (ucapkan) perkataan menjaga keselamatan
(taubat) kerana mereka lebih berhak dengan itu, dan memang (mereka) ahlinya,
dan adalah Allah mengetahui tiap sesuatu”. (Surah Fath, ayat 26).
Keadaan takutkan Allah mempunyai maksud
yang sama dengan kalimah “ La
ilaha illa Llah” – tiada Tuhan, tiada apa-apa, kecuali Allah. Bagi
orang yang mengetahui ini akan ada perasaan
takut kehilangan-Nya, kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya, keampunan-Nya; dia
takut dan malu melakukan kesalahan sedangkan Dia melihat, dan takutkan
azab-Nya. Jika seseorang itu tidak berkeadaan demikian dia perlu mendapatkaan
orang yang takutkan Allah dan menerima keadaan takutkan Allah itu daripada
orang berkenaan.
Sumber dari mana perkataan itu diterima
mestilah bersih dan suci daripada segala-galanya kecuali Allah, dan sesiapa
yang menerimanya mestilah ada kebolehan untuk membedakan antara perkataan orang
yang suci hatinya dengan perkataan orang awam. Penerimanya mestilah sadar cara
perkataan itu diucapkan, karena perkataan yang bunyinya sama mungkin mempunyai
maksud yang jauh berbeda. Tidak mungkin perkataan yang datangnya daripada
sumber yang asli sama dengan perkataan yang datangnya daripada sumber lain.
Hatinya menjadi hidup bila dia menerima
benih tauhid daripada hati yang hidup kerana benih yang demikian sangat subur,
itulah benih kehidupan. Tidak ada yang tumbuh daripada benih yang kering lagi
tiada kehidupan. Kalimah suci “La ilaha illa Llah” disebut dua kali di dalam
Quran menjadi bukti.
“(Karena)
apabila dikata kepada mereka “Tiada Tuhan melainkan Allah” mereka menyombong.
Dan mereka berkata, ‘Apakah kami mesti tinggalkan tuhan-tuhan kami buat
(mengikut) seorang ahli syair dan gila?” (Surah Shaaffaat. Ayat 35 & 36).
Ini adalah keadaan orang awam yang baginya
rupa luar termasuk kewujudan zahirnya adalah tuhan-tuhan. “Oleh itu Ketahuilah bahawa tidak
ada Tuhan melainkan Allah. Dan mintalah perlindungan bagi buah amal kamu, dan
bagi mukmin dan mukminat, dan Allah mengetahui tempat usaha kamu (di siang hari)
dan tempat kembali kamu (pada malam hari)”. (Surah Muhammad, ayat 19).
Firman Allah ini menjadi panduan kepada
orang-orang beriman yang tulen yang takutkan Allah.
Saidina Ali r.a meminta Rasulullah s.a.w
mengajarkan kepadanya cara yang mudah, paling bernilai, paling cepat kepada
keselamatan. Baginda s.a.w menanti Jibrail memberikan jawapannya daripada
sumber Ilahi. Jibrail datang dan mengajarkan baginda s.a.w mengucapkan “La
ilaha” sambil memusingkan mukanya yang diberkati ke kanan, dan mengucapkan “illa
Llah” sambil memusingkan mukanya ke kiri, ke arah hati sucinya yang diberkati.
Jibrail mengulanginya tiga kali; Nabi s.a.w mengulanginya tiga kali dan
mengajarkan yang demikian kepada Saidina Ali r.a dengan mengulanginya tiga kali
juga. Kemudian baginda s.a.w mengajarkan yang demikian kepada sahabat-sahabat
baginda. Saidina Ali r.a merupakan orang yang pertama bertanya dan menjadi
orang yang pertama diajarkan.
Kemudian satu hari selepas kembali daripada
peperangan, Nabi s.a.w berkata kepada pengikut-pengikut baginda, “Kita baharu kembali daripada
peperangan yang kecil untuk menghadapi peperangan yang besar” .
Baginda s.a.w merujukkan kepada perjuangan dengan ego diri sendiri, keinginan
yang rendah yang menjadi musuh kepada penyaksian kalimah tauhid. Baginda s.a.w
bersabda, “Musuh kamu
yang paling besar ada di bawah rusuk kamu ”.
Cinta Ilahi tidak akan hidup sehinggalah
musuhnya, hawa nafsu badaniah kamu, mati dan meninggalkan kamu.
Mula-mulanya kamu mesti bebas daripada ego
kamu yang mengheret kamu kepada kejahatan. Kemudian kamu akan mula memiliki
suara hati yang belum penuh, walaupun kamu masih belum bebas sepenuhnya
daripada dosa. Kamu akan memiliki perasaan mengkritik diri sendiri – tetapi ia
belum mencukupi. Kamu mesti melepasi tahap tersebut kepada peringkat di mana
hakikat yang sebenarnya dibukakan kepada kamu, kebenaran tentang benar dan
salah. Kemudian kamu akan berhenti melakukan kesalahan dan akan hanya melakukan
kebaikan. Dengan demikian diri kamu akan menjadi bersih. Di dalam menentang
hawa nafsu dan tarikan badan kamu, kamu mestilah melawan nafsu kehaiwanan –
kerakusan, terlalu banyak tidur, pekerjaan yang sia-sia – dan menentang
sifat-sifat haiwan liar di dalam diri kamu – kekejian, marah, kasar dan
berkelahi. Kemudian kamu mesti usahakan membuang perangai-perangai ego yang
jahat, takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit tubuh dan
hati kamu. Cuma orang yang berbuat demikian yang benar-benar bertaubat dan
menjadi bersih, suci murni dan tulen. “Sesungguhnya
Allah kasih kepada orang yang bertaubat dan memelihara kesuciannya”. (Surah
Baqarah, ayat 222).
Dalam melakukan taubat seseorang itu
mestilah mengambil perhatian supaya penyesalannya tidak samar-samar dan tidak
juga secara umum agar dia tidak jatuh ke dalam ancaman Allah: “Tidak kira berapa banyak mereka
bertaubat mereka tidak sebenarnya menyesal. Taubat mereka tidak diterima”.
Ini ditujukan kepada mereka yang hanya
mengucapkan kata-kata taubat tetapi tidak tahu sejauh mana dosa mereka, malah
tidak mengambil tindakan pembaikan dan pencegahan. Itulah taubat yang biasa,
taubat zahir yang tidak menusuk kepada punca dosa. Ia adalah umpama orang yang coba
menghapuskan rumput dengan memotong bagian di atas tanah tetapi tidak
mencabut akarnya yang di dalam bumi. Tindakan yang demikian membantu rumput
untuk tumbuh dengan lebih segar. Orang yang bertaubat dengan mengetahui
kesalahannya dan punca kesalahan itu berazam tidak mengulanginya dan
membebaskan dirinya daripada kesalahan itu, mencabut akar pokok yang merosakkan
itu. Cangkul yang digunakan untuk menggali akarnya, punca kepada dosa-dosa,
ialah pengajaran kerohanian daripada guru yang benar. Tanah mestilah
dibersihkan sebelum ditanam pokok orkid.
“Dan Kami bawakan perumpamaan kepada
manusia supaya mereka memikirkannya”. (Surah Hasyr, ayat 21).
“Dia jualah Penerima taubat hamba-hamba-Nya
dan mengampunkan dosa, dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah
Syura, ayat 25).
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman
dan mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka
dengan kebaikan kerana adalah Allah itu Pengampun, Penyayang”. (Surah Furqaan,
ayat 70).
Ketahuilah taubat yang diterima tandanya
ialah seseorang itu tidak lagi jatuh ke dalam dosa tersebut.
Ada dua jenis taubat , taubat orang dan taubat mukmin sejati .
Orang awam berharap meninggalkan kejahatan dan masuk kepada kebaikan dengan
cara mengingati Allah dan mengambil langkah usaha bersungguh-sungguh,
meninggalkan hawa nafsunya dan kesenangan badannya dan menekankan egonya. Dia
mesti meninggalkan keegoannya yang ingkar terhadap peraturan Allah dan masuk
kepada taat. Itulah taubatnya yang menyelamatkannya dari neraka dan
memasukkannya ke dalam syurga.
Orang mukmin sejati, hamba Allah yang
tulen, berada di dalam suasana yang jauh berbeza. Mereka berada pada makam
makrifat yang jauh lebih tinggi daripada makam orang awam yang paling baik.
Sebenarnya bagi mereka tidak ada lagi anak tangga untuk dipanjat; mereka telah
sampai kepada kehampiran dengan Allah. Mereka telah meninggalkan kesenangan dan
nikmat dunia ini dan menikmati kelazatan alam kerohanian – rasa kehampiran
dengan Allah, nikmat menyaksikan Zat-Nya dengan mata keyakinan.
Perhatian orang awam tertuju kepada dunia
ini dan kesenangan mereka adalah merasai nikmat kebendaan dan kewujudan kebendaannya.
Malah, jika kewujudan kebendaan manusia dan dunia merupakan satu kesilapan
begitu jugalah nikmat dan kecacatan yang paling baik daripadanya. Kata-kata
yang diucapkan oleh orang arif, “Kewujudan
dirimu merupakan dosa, menyebabkan segala dosa menjadi kecil jika dibandingkan
dengannya” . Orang arif selalu mengatakan bahawa kebaikan yang
dilakukan oleh orang baik-baik tidak mencapai kehampiran dengan Allah tidak
lebih daripada kesalahan orang yang hampir dengan-Nya. Jadi, bagi mengajar kita
memohon keampunan terhadap kesalahan yang tersembunyi yang kita sangkakan
kebaikan, Nabi s.a.w yang tidak pernah berdosa memohon keampunan daripada Allah
sebanyak seratus kali sehari. Allah Yang Maha Tinggi mengajarkan kepada
rasul-Nya: “Pintalah
perlindungan bagi buah amal kamu dan bagi mukmin dan mukminat”. (Surah
Muhamamd, ayat 19).
Dia jadikan rasul-Nya yang suci murni
sebagai teladan tentang cara bertaubat – dengan merayu kepada Allah supaya
menghilangkan ego seseorang, sifat-sifatnya dan dirinya, semuanya pada diri
seseorang, mencabut kewujudan diri seseorang. Inilah taubat yang sebenarnya.
Taubat yang demikian meninggalkan
segala-galanya kecuali Zat Allah, dan berazam untuk kembali kepada-Nya, kembali
kepada kehampiran-Nya untuk melihat Wajah Ilahi. Nabi s.a.w menjelaskan taubat
yang demikian dengan sabda baginda s.a.w, “ Ada
sebahagian hamba-hamba Allah yang tulen yang tubuh mereka berada di sini tetapi
hati mereka berada di sana
, di bawah arasy”. Hati mereka berada pada langit kesembilan, di bawah arasy Allah
kerana penyaksian suci terhadap Zat-Nya tidak mungkin berlaku pada alam bawah.
Di sini hanya kenyataan atau penzahiran
sifat-sifat suci-Nya yang dapat disaksikan, memancar ke atas cermin yang bersih
kepunyaan hati yang suci. Saidina Umar r.a berkata, “Hatiku melihat Tuhanku
dengan cahaya Tuhanku”. Hati yang suci adalah cermin di mana keindahan,
kemuliaan dan kesempurnaan Allah memancar. Nama lain yang diberi kepada suasana
ini ialah pembukaan (kasyaf), menyaksikan sifat-sifat Ilahi yang suci.
Bagi memperolehi suasana tersebut, untuk
membersihkan dan menyinarkan hati, perlulah kepada guru yang matang, yang di
dalam keesaan dengan Allah, yang disanjung dan dimuliakan oleh semua, dahulu
dan sekarang. Guru berkenaan mestilah telah sampai kepada makam kehampiran
dengan Allah dan dihantar balik ke alam rendah oleh Allah untuk membimbing dan
menyempurnakan mereka yang layak tetapi masih mempunyai kecacatan.
Di dalam penurunan mereka untuk melakukan
tugas tersebut wali-wali Allah mestilah berjalan Sesuai dengan sunnah
Rasulullah s.a.w dengan mengikuti teladan baginda s.a.w, tetapi tugas mereka
berlainan dengan tugas rasul. Rasul diutuskan untuk menyelamatkan orang ramai
dan juga orang-orang yang beriman. Guru-guru tadi pula tidak dihantar untuk
mengajar semua orang tetapi hanyalah sebilangan yang dipilih sahaja.
Rasul-rasul diberi kebebasan dalam menjalankan tugas mereka, sementara
wali-wali yang mengambil tugas sebagai guru mesti mengikuti jalan rasul-rasul
dan nabi-nabi.
Guru kerohanian yang mengaku diri mereka
merdeka, menyamakan dirinya dengan nabi, jatuh kepada kesesatan dan kekufuran.
Bila Nabi s.a.w mengatakan sahabat-sahabat baginda yang arif adalah umpama
nabi-nabi Bani Israil, baginda memaksudkan lain daripada ini – kerana nabi-nabi
yang datang selepas Musa a.s semuanya mengikuti prinsip agama yang dibawa oleh
Musa a.s. Mereka tidak membawa peraturan baharu. Mereka mengikuti undang-undang
yang sama. Seperti mereka juga orang-orang arif dari kalangan umat Nabi
Muhammad s.a.w yang bertugas membimbing sebahagian daripada orang-orang suci
yang dipilih, mengikuti kebijaksanaan Nabi s.a.w, tetapi menyampaikan perintah
dan larangan dengan cara baharu yang berbeza, terbuka dan jelas, menunjukkan
kepada murid-murid mereka dengan perbuatan yang mereka kerjakan pada masa dan
keadaan yang berlainan. Mereka memberi dorongan kepada murid-murid mereka
dengan menunjukkan kelebihan dan keindahan prinsip-prinsip agama. Tujuan mereka
ialah membantu pengikut-pengikut mereka menyucikan hati yang menjadi tapak
untuk membena tugu makrifat.
Dalam semua itu mereka mengikut teladan
daripada pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w yang terkenal sebagai ‘golongan
yang memakai baju bulu' yang telah meninggalkan semua aktiviti keduniaan
untuk berdiri di pintu Rasulullah s.a.w dan berada hampir dengan baginda.
Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung
daripada mulut Rasulullah s.a.w. Dalam kehampiran mereka dengan Rasulullah
s.a.w mereka telah sampai kepada peringkat di mana mereka boleh bercakap
tentang rahsia israk dan mikraj Rasulullah s.a.w sebelum baginda membuka rahsia
tersebut kepada sahabat-sahabat baginda.
Wali-wali yang menjadi guru memiliki
kehampiran yang serupa dengan Nabi s.a.w dengan Tuhannya. Amanah dan penjagaan
terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka
merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin mereka
selamat di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w.
Tidak semua orang yang memiliki ilmu berada
di dalam keadaan tersebut. Mereka yang sampai ke situ adalah yang lebih hampir
kepada Rasulullah s.a.w daripada anak-anak dan keluarga mereka sendiri dan
mereka adalah umpama anak-anak kerohanian Rasulullah s.a.w yang hubungannya
lebih erat daripada hubungan darah. Mereka adalah pewaris sebenar kepada Nabi
s.a.w. Anak yang sejati memiliki zat dan rahsia bapanya pada rupa zahirnya dan
juga pada batinnya. Nabi s.a.w menjelaskan rahasia ini, “Ilmu khusus adalah umpama khazanah
rahasia yang hanya mereka yang mengenali Zat Allah boleh mendapatkannya. Namun
bila rahasia itu dibukakan orang yang mempunyai kesedaran dan ikhlas tidak
menafikannya”.
Ilmu tersebut dimasukkan kepada Nabi s.a.w
pada malam baginda s.a.w mikraj kepada Tuhannya. Rahsia itu tersembunyi di
dalam diri baginda di sebalik tiga ribu tabir hijab. Baginda s.a.w tidak
membuka rahsianya melainkan kepada sebahagian pengikut baginda yang sangat
hampir dengan baginda. Melalui penyebaran dan keberkatan rahsia inilah Islam
akan terus memerintah sehingga ke hari kiamat.
Pengetahuan batin tentang yang tersembunyi
membawa seseorang kepada rahsia tersebut. Sains, kesenian dan kemahiran
keduniaan adalah umpama kerangka kepada pengetahuan batin. Mereka yang memiliki
pengetahuan kerangka itu bolehlah mengharapkan satu hari nanti mereka diberi
kesempatan untuk memiliki apa yang di dalam kerangka. Sebahagian daripada
mereka yang berilmu memiliki apa yang patut dimiliki oleh seorang manusia
secara umumnya sementara sebahagian yang lain menjadi ahli dan memelihara ilmu
tersebut daripada hilang. Ada
golongan yang menyeru kepada Allah dengan nasihat yang baik. Sebahagian
daripada mereka mengikuti sunnah Nabi s.a.w dan dipimpin oleh Saidina Ali r.a.
yang menjadi pintu kepada gedung ilmu yang melaluinya masuklah mereka yang
menerima undangan dari Allah. “Serulah
ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat dan bantahlah mereka dengan cara
yang lebih baik” . (Surah Nahl, ayat 125).
Maksud dan perkataan mereka adalah sama.
Perbedaan pada zahirnya hanyalah pada perkara-perkara terperinci dan cara
pelaksanaannya.
Sebenarnya ada tiga makna yang kelihatan
sebagai tiga jenis ilmu yang berbeda – dilakukan secara berbeda, tetapi
menjurus kepada yang satu Sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Ilmu
dibahagikan kepada tiga yang tidak ada seorang manusia boleh menanggung
keseluruhan beban ilmu itu juga tidak berupaya mengamalkan dengan sekaliannya.
Bagian pertama ayat di atas “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan
bijaksana (hikmah)” , Sesuai dengan makrifat, zat dan permulaan
kepada segala sesuatu, pemiliknya mestilah sebagaimana Nabi s.a.w beramal
Sesuai dengannya. Ia hanya dikurniakan kepada lelaki sejati yang berani,
tentera kerohanian yang akan mempertahankan kedudukannya dan menyelamatkan ilmu
tersebut. Nabi s.a.w bersabda, “Kekuatan
semangat lelaki sejati mampu menggoncang gunung” . Gunung di
sini menunjukkan keberatan hati sesetengah manusia. Doa lelaki sejati yang
menjadi tentera kerohanian dimakbulkan. Bila mereka menciptakan sesuatu ia
berlaku, bila mereka mahukan sesuatu hilang maka ia pun hilang. “Dia kurniakan hikmah kepada sesiapa
yang Dia kehendaki, dan Barangsiapa dikurniakan hikmah maka sesungguhnya dia
telah diberi kebajikan yang banyak”. (Surah Baqarah, ayat 269).
Jenis kedua ialah ilmu zahir yang disebut
Quran sebagai “seruan yang baik”. Ia menjadi kulit kepada hikmah kebijaksanaan
rohani. Mereka yang memilikinya menyeru kepada kebaikan, mengajar manusia
berbuat baik dan meninggalkan larangan-Nya. Nabi s.a.w memuji mereka. Orang
yang berilmu menyeru dengan lemah lembut dan baik hati, sementara yang jahil
menyeru dengan kasar dan kemarahan.
Jenis ketiga ialah ilmu yang menyentuh
kehidupan manusia di dalam dunia. Ia disebut sebagai ilmu agama (syariat) yang
menjadi sarang kepada hikmah kebijaksanaan (makrifat). Ia adalah ilmu yang
diperuntukkan kepada mereka yang menjadi pemerintah manusia; menjalankan
keadilan ke atas sesama manusia; pentadbiran manusia ke atas sesama manusia.
Bahagian terakhir ayat Quran yang di atas tadi menceritakan tugas mereka “dan
berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”. Mereka ini menjadi
kenyataan kepada sifat Allah “al-Qahhar” Yang Maha Keras. Mereka berkewajipan
menjaga peraturan di kalangan manusia selaras dengan hukum Tuhan, seumpama
sabut melindungi tempurung dan tempurung melindungi isi.
Nabi s.a.w menasihatkan, “Biasakan dirimu berada di dalam
majlis orang-orang arif, taatlah kepada pemimpin kamu yang adil. Allah Yang
Maha Tinggi menghidupkan hati dengan hikmah seperti Dia jadikan bumi yang mati
hidup dengan tumbuh-tumbuhan dengan menurunkan hujan” . Baginda s.a.w juga
bersabda , “Hikmah adalah harta yang hilang
bagi orang yang beriman, dikutipnya di mana sahaja ditemuinya”.
Malah perkataan yang diucapkan oleh manusia
biasa datangnya daripada Loh Terpelihara menurut hukum Allah terhadap segala
perkara daripada awal hingga akhir. Loh itu disimpan pada alam tinggi pada akal
asbab tetapi perkataan diucapkan menurut makam seseorang. Perkataan mereka yang
telah mencapai makam makrifat adalah secara langsung daripada alam tersebut,
makam kehampiran dengan Allah. Di sana
tidak ada perantaraan.
Ketahuilah bahwa semua akan kembali kepada
asal mereka. Hati, zat, mesti dikejutkan; jadikan ianya hidup untuk mencari
jalan kembali kepada asalnya yang suci murni. Ia mesti mendengar seruan.
Seseorang mesti mencari orang yang orang yang daripadanya seruan itu muncul,
melaluinya zahir seruan. Itulah guru yang sebenar. Ini merupakan kewajipan bagi
kita. Nabi s.a.w bersabda, “Menuntut ilmu wajib bagi setiap orang Islam lelaki
dan perempuan”. Ilmu tersebut merupakan peringkat terakhir semua ilmu, itulah
ilmu makrifat, ilmu yang akan membimbing seseorang kepada asalnya, yang sebenar
(hakikat). Ilmu yang lain perlu menurut sekadar mana keperluannya. Allah
menyukai mereka yang meninggalkan cita-cita dan angan-angan kepada dunia,
kemuliaan dan kebesarannya, kerana kepentingan duniawi ini menghalang
seseorang kepada Allah. “Katakanlah:
“Aku tidak meminta kepadamu upah atas (menyampaikan)nya, kecuali percintaan
(kepadaku) lantaran kerabat”. (Surah Syura, ayat 23).
Ditafsirkan
maksud perkataan “apa yang hampir dengan kamu” ialah datang hampir dengan
kebenaran.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar